-----------------------
Makna Talbis Iblis [ تَلْبِيسُ إِبْلِيس ]
-----------------------
Talbis maksudnya menampakkan kebatilan dalam rupa kebenaran. Talbis adalah menzahirkan yang bathil dalam bentuk yang betul. Meletakkan yang tidak betul di dalam tempat yang betul.
-----------------------
Kata Imam al-Jauzi
-----------------------
Berkata Imam Al-Jauzi, "Makna ghurur itu seperti kejahilan yang menimbulkan keyakinan bahawa yang rosak itu lurus dan hina itu bagus. Sebabnya ialah rasa waswas. Iblis menyusup ke dalam diri manusia bergantung kepada kadar yang mungkin, boleh bertambah dan boleh berkurang, bergantung kepada kadar yang dimungkinkannya, bergantung kepada kadar kesedaran dan kelalaian manusia, kemahiran dan kejahilannya."
------------------------
Contoh Mudah utk Faham makna Talbis Iblis
------------------------
Contoh yang mudah seperti daging khinzir dibungkus di dalam bungkusan yang terdapat padanya cop halal. Daging khinzir secara jelas dan nyata adalah sesuatu yang haram. Namun ia dibungkus di dalam bungkusan yang tertera padanya cop yang halal dan suci. Maka bagi pembeli yang tidak mengetahui bahawa itu adalah daging khinzir, dia akan terkeliru dan mungkin akan membelinya kerana tertipu dengan cop halal pada bungkusannya. Dan lebih buruk lagi dia akan memasak dan menghidang kepada keluarganya daging tersebut, kerana dia tidak ada ilmu bagi membezakan daging yang halal dan juga daging yang haram dimakan. Ini disebabkan dia sudah tertipu dengan cop halal pada bungkusan tersebut. Begitulah yang dapat dikaitkan dengan makna talbis.
-------------------------
Makna GHURUR ( الْغُـــرُور )
-------------------------
Ghurur adalah sejenis kejahilan yang menyebabkan sesuatu yang rosak itu betul, dan sesuatu yang betul itu rosak. Ini kerana dia telah berjaya diperdayakan oleh syaitan. Contohnya seperti pada zaman baginda Rasulullah S.A.W., ketika baginda menyampaikan dakwah yang benar, tetapi dilihat sebagai dusta oleh kafir Quraisy pada ketika itu. Kaum kafir Quraisy pada ketika itu telah berjaya diperdayakan oleh tipu daya Iblis.